Wednesday, 14 July 2021

Dilindungi

Dalam menuju kematangan, banyak perkara perlu dipelajari sendiri tanpa diajar. Ada yang mudah, ada yang susah. Ada yang ada formula untuk menghadapinya, ada yang kena kaji gali. 

Kadang aku rasa aku dh matang, kadang macam tak. Banyak situasi dalam hidup aku yang menunjukkan betapa aku perlu dilindungi. Syukurlah aku dikelilingi orang-orang yang baik. 

Masa sekolah menengah, aku ada program di Selangor. Aku perlu ke Kuantan usai program tersebut. Aku tak kenal siapa lelaki itu, orang memanggilnya Pakcik Megat. Beliau ambil aku dari tapak kem, bawa berehat sebentar di rumahnya, kemudian beliau hantar aku di Stesen Bas Pudu. Beliau agak berusia, tapi sangat tangkas dalam memandu dan membawa usung beg aku. Beliau hingga pastikan aku naik bas dan duduk dengan selamat dan luput aku dari pandangannya, baru beliau pulang tinggalkan aku. Walhal kami tidak mengenali satu sama lain. 

Masa di kolej, Zuey arahkan aku untuk duduk di kerusi pertama yang dia nampak masa hendak pulang dari kolej. Bas penuh masa tu. Sangat tegas cara dia arahkan aku untuk duduk sebab ramai lelaki dekat belakang. Dia pun berjalan cari kerusi kosong di tempat lain, entah ada, entah tidak. Aku tak tahu. 

Masa kerja, aku pernah digertak oleh pihak penghantaran ubat, syarikat yang baru berurusan dengan kami. Jelas sekali bukan salah kami ketika itu. Namun kegelisahan aku mengganggu konsentrasi kerja kerana dihubungi beberapa kali. Syukur juga mood bos aku dalam keadaan baik, beliau memberi jaminan akan keselamatan kami. 

Hari ini pula aku didesak dengan seorang waris yang kurang berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Melihat keserabutan aku, rakan sekerja membantu memberi idea dalam mengatasinya. Dicadangkan juga untuk kami berbincang dengan jabatan lain kerana bukan salah dari pihak kami semua. 

Syukurlah ada yang mahu membantu. Beliau menawarkan untuk bercakap sendiri dengan waris tersebut. Betapa aku terpegun keberaniannya, lawan dengan undang-undang pun beliau tak kisah, malah memberi amaran untuk tidak mengganggu stafnya lagi (iaitu aku ketika itu, juga yang lainnya siang tersebut sebagai orang bawahan). Usai dirungkai hujung pangkal cerita, rupanya beliau yang meminta layanan melampau sedangkan semua orang  diberikan layanan seperti yang sepatutnya, ada udang di sebalik batu juga rupanya!

Dari situ juga boleh lihat betapa aku tak mampu pertahankan diri sendiri. Dimarahi, dimaki, dimanipulasi, diganggu, dijadikan tempat melepaskan dendam dan geram, digunapakai bak tisu untuk mengelap air mata namun dibuang ke tong sampah kemudiannya. 

Pernah aku tiba lebih awal di tempat yang asing bagi aku. Terjumpa pula rakan. Usai tanya khabar, aku meminta diri untuk menunggu di surau sebelum perlu ke tempat urusan. Aku tak tahu apa yang berlegar difikirkannya, keselamatan atau kasihan? Entah, tiada idea. Beliau mengajak aku untuk mengikutinya ke suatu tempat yang orang awam tidak dibenarkan masuk. Pesannya supaya membuat muka biasa sahaja. Kami melewati ruang-ruang yang tiada orang awam, melepasi pengawal tanpa soal jawab. Terkejut dan sangat terharu, beliau membawaku ke bilik rehat beliau rupanya sementara menunggu waktu urusan aku nanti Subhanallah. Semoga Allah memberkatimu.

Banyak lagi peristiwa yang membuktikan betapa aku perlu dilindungi. Syukur Tuhan Maha Baik, dikirimnya orang keliling aku pun baik. 

Harapnya semoga suatu hari nanti apabila aku mahir dengan selok belok permainan dunia yang sementara ini, aku dapat membantu orang terdekat aku, bukan menganiaya. Aku masih baik, masih sopan, masih ada etika dan tatasusila, cuma perlu digilap ketegasan untuk hidup dengan lebih selamat.

 Tanpa doa pun, aku yakin akan ada bahagian kebaikan bagi semua yang membantu sesama manusia, namun aku tetap memohon agar Allah mengurniakan kebaikan dunia dan akhirat untuk semua yang membantu aku dari masa ke masa. 

No comments:

Post a Comment

Dilindungi

Dalam menuju kematangan, banyak perkara perlu dipelajari sendiri tanpa diajar. Ada yang mudah, ada yang susah. Ada yang ada formula untuk me...