Kisah aku dan kuda tungganganku, Vèvé adalah 1001 kisah suka dan duka. Ia mengajar aku erti pengorbanan, pengharapan, pengajaran dan erti hidup terutamanya.
Tentang mengapa aku pilih dia, kenapa dia yang hadir dan sebagainya, mungkin itu yang terbaik Dia aturkan, aku redha.
February 2021, ujian aku bersama kuda ini aku rasa amat berat. Tapi syukur, air mata berjaya aku kekang dari menjadi bah, ia sekadir mengalir lembut membasahi pipi.
Acapkali ujian tiba, aku refleks diri andai ada dosa di mana-mana, salah kerana ada yang tidak aku jaga. Hati kecil ini lantas mencari Pemilik Semesta, mengadu seakan anak kecil dengan tangis teresak-esak gamaknya.
Siapa aku untuk mempersoal kehendak dan susunan-Nya.
Ada ketika dengan menukar 2 biji tayar itu hanya diselangi istighfar dangan pejam rapat mata ini.
Sakit, tapi aku tahu perlu.
Tapi kali ini sakit torehannya kerana sangat misteri.
#KES 1
Aku seakan-akan terdengar bunyi letupan dari arah belakang, disangkakan terlanggar botol plastik ketika memandu. Selang beberapa kilometer, kenderaanku terasa berat dan hampir mati. Aku berhenti di tepi jalan, di bawah lampu jalan di hadapan rumah orang. Lebih kurang 500 meter di hadapan ada roadblock kerana PKP kali ini.
Aku tidak menyalakan lampu kecemasan. Aku tak suka menjadi perhatian. Aku duduk senyap-senyap dalam kereta, mematikan enjin lantas menelefon abangku jauh di Johor sana.
Dia menyuruhku membuka boot hadapan kereta dan memeriksa apa yang patut, berdasarkan arahannya.
Aku menelefon abangku di Perlis pula memberitahu kejadian ini. Sambil menunggu dia tiba, aku menghantar pesanan Whatsapp kepada adikku, menunjukkan gambar kereta tersadai di tepi jalan, di mana jam menunjukkan hampir 10 malam. Aku mula menerima panggilan tak berhenti dari seluruh keluarga.
Abang tiba membawa jiran menaiki motosikal kerana mereka dari rumah rakan. Usai memeriksa, diselangi menghubungi sana sini berbincang, mereka memutuskan untuk membawa aku pulang menaiki motosikal.
Aduh, masalah besar! Fobia aku dengan motosikal masih tersisa, namun gagahi juga dari menunggu hingga entah bila di situ.
Sampai di rumah, tanpa menjamah sebarang makanan, aku baring di katil dan terlelap hingga ke pagi dek keletihan. Aku tidak lupa air mata yang mengalir kering ditekup bantal kerana diselubungi sedih melampau.
Siapa sahaja yang datang untuk menyembang tidakku layan. Aku perlu masa untuk tenangkan diri, sendirian.
Aku jahat, membiarkan kakakku sendirian mencari kedai tayar di petang hari keesokan harinya. Aku merajuk benar kali ini. Akhirnya dia pulang hampa kerana tiada lagi kedai buka kerana esoknya cuti raya cina.
Baru siang itu aku menghabiskan sejumlah wang untuk tinted (setelah penat mendengar bebelan orang keliling), malamnya pula tayar pecah. Allah, hamba sedih.
Keesokannya aku mula bercuti di rumah untuk berehat selama beberapa hari, langsung aku tidak pedulikan kuda itu.
Sehari sebelum cutiku berakhir, aku masih tidak mahu memandu kuda itu. Aku menyuruh orang lain. Tapi aku dipaksa ikut juga untuk belajar. Aku akur. Sepanjang perjalanan itu aku diam sahaja mengenang nasib diri.
#KES 2
Kurang 2 minggu kemudian, tayar di sebelah sana pula pecah. Allah. Aku tak tahu bagaimana harus aku menunjukkan reaksi. Cuma tika itu aku terdiam. Bisu. Lemah. Hanyut aku dibawa lamunan.
Telefonku berdering menerima panggilan dari bonda. Aku mengkhabarkan kejadian itu. Beliau cuma bertanya apa yang perlu dia bantu. Aku hanya pohon doa.
Dengan menebalkan muka dan suara, aku menghubungi abangku sekali lagi. Banyak arahannya. Bebelan demi bebelan dihemburkan. Semua bagiku tak mahu aku sempurnakan. Fikiranku hanya satu, lari. Langsung tidak menyelesaikan masalah. Pengecut.
Dia tiba tidak lama kemudian bersama 2 orang rakan merangkap jiran kami juga. Aduh, kawannya pula sambung membebel. Siap bertanya apa yang aku lakukan pertama sekali? Kataku, aku makan burger dahulu kerana risau aku tidak dapat berfikir waras kerana aku memang lapar ketika itu. Dia menepuk dahi dan membebel lagi.
Usai menukar tayar, mereka meninggalkan aku bersama kuda bertayar cacat itu, 3 tayar rim saiz 16, lagi satu rim saiz 14 mungkin ? Kecil sekali. Aku pun perlahan-lahan memandu pulang ke rumah.
#MISTERI?
Bukan hak kita menghukum sesiapa. Bukan akhlak kita menuduh sesiapa. Walau banyak kali manapun kita memeriksa CCTV ciptaan manusia, takkan kita dapat menerima jawapan andai bukan itu kehendak Tuhan.
Aku redha.
Meskipun hati kecilku memberontak, terus dipujuk hati yang keras itu, ini bukan kuasa kita. Sudahlah hati, sudahlah.