Thursday, 7 December 2017

Himpunan Anekdot


Kisah pendek ini aku kongsikan semasa menjalani Latihan Pembantu Pegawai Farmasi (PPF) di Unit Farmasi sebuah klinik kesihatan di utara semenanjung.
Satu hari, aku menerima sekeping slip ubat kronik dari seorang kanak-kanak lelaki berumur dalam lingkungan 10-11 tahun di kaunter farmasi. Apabila ditanya tentang pemilik slip, adik itu pun menjawab bahawa slip yang dibawanya itu milik emaknya.

Aku bertanya di mana emaknya berada sekarang kerana pihak farmasi memerlukan buku hijau (Buku Rekod Pesakit atau Home Based Card) emaknya. Adik itu lantas  meminta izin untuk pergi meminta buku tersebut dari ibunya sebentar. Aku meminta adik tersebut duduk sebentar sementara ubat emaknya disediakan.
Siap. Nombor pesakit dipanggil. Aku berada di kaunter sebelah yang kebetulan kosong pada masa itu.

PPF R : Mak mana adik?
Adik X : Mak dalam kereta. Mak tak boleh jalan, stroke.

Aku lihat slip ubat emaknya. Emaknya berusia dalam lingkungan 40an sudah mengalami stroke. Jujur aku bersimpati.

PPF R : Adik tahu tak mak guna pen warna apa? (dengan harapan adik itu tahu)
Adik X : Warna hijau.
PPF R : Mak ada berapa pen dik?
Adik X : Pen ada satu. Warna hijau. Ubat ada dua, satu hijau satu lagi kuning.
PPF R : Tahu tak mak cucuk berapa unit biasanya?
Adik X : Siang cucuk 18, malam 22
PPF R : Siapa yang cucukkan ni, adik ke?
Adik X : Ya saya

Staf-staf yang hanya mendengar sahaja perbualan dari tadi serentak menoleh melihat adik di kaunter itu. MasyaAllah hebatnya adik ni, semua soalan dijawabnya dengan penuh yakin, tiada satu pun yang salah, berani pula tu cucukkan untuk emaknya. Kecil-kecil sudah pandai uruskan ubat emak sendiri, siap tahu teknik yang betul lagi!

Kagum. Di kala kanak-kanak lain sebayanya keluar bermain bola, minta sahaja hendak dibelikan apa sahaja, dan sebut sahaja mahu makan apa pada ibu masing-masing, tapi adik ini menghabiskan masa menguruskan ibunya yang tidak mampu bergerak bebas seperti biasa lagi.

Semasa mendispen ubat si ibu kepada adik tadi, dia hanya mengangguk tanda mengerti perihal semua ubat-ubatan itu tentang makannya berapa biji, masa mana, siap boleh bezakan lagi tarikh berjumpa doktor dengan tarikh untuk ambil ubat.

Hebat benar budak ni! Sedangkan ada sahaja pesakit yang sudah berulang kali datang mengambil ubat pun masih tidak boleh bezakan antara tarikh mengambil ubat dengan tarikh berjumpa doktor.

Sebelum adik itu beredar, PPF yang lain pula memanggil adik itu,

PPF Y : Adik, belajar rajin-rajin. Besar nanti jadi doktor tau. cucuk pandai dah tu!

Adik hebat itu hanya senyum dan berlalu pergi.

Untungnya si ibu memiliki anak hebat dan bertanggungjawab sepertinya.


2. Santun
Aku adalah seorang pesakit muda yang masih dalam pemerhatian pakar untuk didiagnos masalah tekanan darah tinggi. Aku diminta untuk menjalani ujian electrocardiogram (ECG). Aku tahu tentang prosedur tersebut, tentang tujuan dan bagaimana ia dilakukan. Aku juga dalam bidang sub-perubatan.
Nasib menyebelahi aku. Alhamdulillah aku dapat pembantu pegawai perubatan (MA) perempuan untuk dilakukan ujian pada hari tersebut. Berkat tidak putus berdoa sehingga hari yang dijanjikan barangkali.
Ditutupnya rapat langsir dari semua sudut, dipinta dengan penuh santun bahasanya akan setiap arahan, diminta maaf pula apabila diperlukan untuk membuka aurat badanku. Penuh cermat kerjanya.
Dikongsikan pula serba-sedikit ilmu mengenai masalah aku itu. Dia juga menenangkan aku dengan menyatakan ECG ini cuma ujian sahaja, juga memberi aku harapan supaya aku benar-benar tidak menghidap penyakit kronik itu.
Sangat baik, sangat membantu, sangat ramah.
Aku masih mencari adegan-adegan buruk staf perubatan yang teruk dipropakan media. Tidak pernah ditemui, semenjak kecil aku tidak pernah mendapat layanan buruk, baik semasa ditahan di hospital, atau sebagai pesakit luar sahaja.
Mereka ingin membantu kita, mudahkan kerja mereka.

3. Malu
Usai menukar pakaian kepada gaun pembedahan, aku diminta kembali ke wad untuk bersedia dipanggil menjalani pembedahan appendicitis. Prosedur memerlukan aku untuk menukar tudung kepada topi pembedahan.
Jururawat seraya berkata, “takpa kita tukar kat tempat lain ya. Adik ni malu kot tukar kat sini” dengan senyuman manisnya. Barangkali jelas kelihatan cuak di raut mukaku. Seperti dijanjikan, dia menukar tudung kepada topi pembedahan untukku di ruang yang kurang orang ramai.
Walaupun peristiwa ini sudah 6 tahun berlalu, namun aku masih ingat kebaikannya. Semoga dia terus dirahmati urusan hidupnya.

4. Pakcik yang meracau
Sedang aku leka melayari akaun Facebook semasa menjaga anak sepupuku yang terlantar akibat kemalangan jalan raya, tiba-tiba satu suara garau yang kuat kedengaran memecah kesunyian petang.
“Pahhhh, Pahhhh, Pahhhh”
Suaranya semakin lama semakin kuat. Semua yang berada di situ menoleh ke arahnya. Dua orang jururawat dari kaunter bergegas berjalan menuju ke katil pakcik yang kelihatan awal 60-an itu.
“Pakcik, pakcik tak boleh bising macam ni pakcik. Bising ni, pakcik kacau orang lain”
Pesakit itu diam sebentar.
Tak lama kemudian dia bersuara lagi. Kali ini pula dia menyebut “Allahu Akbar” berulang kali. Pakcik itu sekali lagi didatangi jururawat dan doktor pula. Masih lagi menyuruhnya menenang dan bertanya sekiranya dia berasa sakit.
Suasana kembali sunyi.
Aku palingkan wajahku ke skrin telefon bimbit kembali. Seorang makcik yang menjaga pesakit di katil sebelah datang memberitahuku mengenai pesakit yang meracau sebentar tadi.
Katanya pakcik tersebut terlibat dalam kemalangan semasa hendak ke tempat kerja. Dia mengalami kecederaan pada kebanyakan bahagian tubuhnya. Tiada pula siapa yang menjaganya. Kalau ada pun, hanya isteri dan anaknya yang datang sekali-sekala, itu pun sekejap sahaja. Isterinya bersikap bengis terhadapnya, sering memarahinya yang terlantar itu.
Aku sekadar mengangguk dan bersimpati dengan pesakit tersebut.
Apalah agaknya salah pakcik tersebut hingga dilayan sebegitu rupa. Aku kembali merenung diri. Adakah aku juga akan dilayan sebegitu rupa kelak oleh anak dan suamiku nanti? Lantas aku istighfar dan berazam menjadi dan memberi yang terbaik untuk semua.
Skrin telefon kembali aku tatap. Tiada lagi yang menarik.

5. Uncle Lau Chua
Kalau terdengar nama ini, pasti aku akan terenyum sendirian.
Seorang pesakit yang berusia lewat 50-an aku kira, berbangsa Cina. Dia sangat peramah. Dia akan tegur semua orang yang berada di sekitarnya. Baik kanak-kanak, jururawat, staf-staf lain, hingga aku yang pelajar praktikal pun dia akan tegur. Suaranya pula kuat apabila bersuara. Jika dia mula masuk klinik, sah kami tahu dia datang klinik hari itu.
Uncle Chua jenis yang banyak cakap juga. Satu hari, dia datang untuk mengambil ubat ulangannya. Tapi kali ini dia membawa sejumlah ubat yang tidak habis digunakan milik isterinya untuk dipulangkan. Kali ini nadanya agak sugul.
Dia mengadu soal isterinya yang terikut-ikut dengan hasutan jiran yang menghalangnya memakan ubat hospital. Kata mereka bahaya dan boleh merosakkan buah pinggang.
Tapi Uncle Chua tidak beranggapan begitu. Dia sangat patuh dengan pemakanan ubat darah tinggi dan kencing manis untuk mengawal penyakitnya itu. Namun isteri kesayangannya itu gagal dia nasihatkan. Aku turut kecewa dengan sikap saling menghasut, namun aku lebih sedih melihat Uncle Chua yang tidak ceria seperti selalu.








No comments:

Post a Comment

Dilindungi

Dalam menuju kematangan, banyak perkara perlu dipelajari sendiri tanpa diajar. Ada yang mudah, ada yang susah. Ada yang ada formula untuk me...