Monday, 15 April 2019

Appendectomy : Kronologi

Hi, Assalamualaikum.

Pembedahan pembuangan appendiks (appendectomy) ni adalah satu pembedahan yang paling biasa dilakukan di hospital. Aku yakin lain orang lain kisahnya. Coretan aku kat sini adalah sekadar pahatan kenangan.

April 2011

Minggu tu kami belajar pasal anatomi abdomen manusia dalam subjek sains, lebih kepada sistem penghadaman, enzim dsb. Aku sejenis manusia yang tertarik kepada gambar. Jadi aku tenung lama-lama komponen-komponen abdomen manusia tu dalam buku rujukan mindmap tu. Pandangan mata aku terhenti pada gambar appendiks.
Hint no #1

Senior aku yang special, Kak Nadiah Nizam dimasukkan ke hospital pada minggu atau bulan yang sama untuk pembedahan appendectomy. Aku tiada hint langsung.
Hint no #2

14 April 2011

Aku dan pasukan nombor 8, ingat lagi, ditugaskan untuk mengendalikan hidangan dewan makan pada hari Rabu tersebut. Terlalu banyak ikan keli lebihan kebetulan. Apa lagi, sang pencinta keli ni pun melahapnya dengan nikmat sekali.
Malamnya ketika nak tidur, aku sudah mula senak perut.
Hint no #3

Aku hanya tidak mengendahkan perasaan itu, sekadar menganggap sakit perut biasa.

15 April 2011

Sakit perut itu semakin menjadi-jadi terutamanya ketika nak tidur. Kawan sejak sekolah rendahku, Iza dengan murah hatinya meminjamkan balm tiger putih kepada aku. Sepanjang malam aku menyapu balm tersebut ke perut. Aku terjaga dari tidur setiap 2 jam. Sekali lagi ku biarkan perasaan itu.

16 April 2011

Hari itu hari Jumaat. Kali ini bukan biasa-biasa punya sakit perut. Aku tak dapat menumpukan perhatian semasa solat Jumaat. Usai solat, aku mengadu kesakitanku pada sang kembar. Mereka menawarkan krim Mustajab panas. Namun aku balik rumah terlebih dahulu kerana tak tahan lagi.

Petangnya, aku berulang alik ke tandas lebih 20 kali dalam masa lebih kurang 2 jam sahaja. Aku rasa memang dehydrated sangat masa tu. Bayangkan, segala isi perut pada bahagian atas habis aku muntahkan, segala isi bahagian bawah juga habis aku buang. Lembik!

Lepas maghrib tu, aku menangis tidak tertahan lagi. Kak Ujah dan Abah membawaku ke Klinik Ehsan di Kangar. Doktor Ismail melakukan pemeriksaan, mengambil sampel air kencing, memeriksa tekanan perut dan mempreskrib 4 jenis ubat, antaranya ialah ubat senak perut.

Doktor juga memberi surat rujukan ke bahagian kecemasan sekiranya malam itu kesakitan tidak hilang juga kerana dia mengesyaki aku menghidapi appendicitis (appendiks).

Aku ambil ketiga-tiga jenis ubat tersebut dengan dos pertama di dalam kereta. Ya aku luahkan semuanya sekali, mual, angin semuanya ada.

CUBAAN TIDUR?

Aku cuba untuk baringkan badan dan tidur malam itu. Malangnya, cadar sudah tertarik dan terkeluar dari tempatnya, selimut berbelit di badan, bantal jatuh katil. Begitulah gambaran aku mengerang kesakitan.

Aku terjaga, Ibu menyuruh aku ke hospital segera. Hanya minum beberapa hirup susu dan sekeping dua biskut kosong, aku bergerak ke Hospital Besar Kangar ditemani Abah dan Kak Ujah pada jam 11 malam begitu.

Alhamdulillah masa menungguku tidak begitu lama. Sakit tak usah dikata lagi. Mungkin kerana surat rujukan tersebut membuatkan urusan menunggu menjadi singkat.

Nombor dipanggil, aku diperiksa oleh doktor yang bertugas. Beliau meminta sampel air kencing dan juga memeriksa perut dengan menekan pada bahagian-bahagian tertentu di abdomen. Ya, memang sakit!

ADMIT WAD

Okay ini adalah saat yang paling menyeksakan bagi aku. Jam 1 pagi. Aku sedang kesakitan di katil zon hijau/kuning aku kira, aku hanya mampu melihat para jururawat bersembang di kaunter jururawat sambik makan kerepek. Aku tidak kisah jika mereka tiada kerja ketika itu, tapi mungkin kerana dalam kesakitan, emosi sedikit sebanyak terganggu.

Aku tak tahu jika tiada dalam urusan pengurusan kesakitan untuk memberikan ubat tahan sakit, cuma bagi aku itu baik untuk beri keselesaan sedikit kepada pesakit.

17 April 2011

Sekitar 6 pagi, aku dikejutkan untuk naik kerusi roda menuju ke wad. Attendan lelaki menolakku. Ya, sangat takut. Mungkin kerana aku sekadar budak 14 tahun yang pertama kali masuk ke wad dan tidak pernah ditinggalkan dengan lelaki sebegitu. Aku yakin Allah akan memeliharaku.

Sampai di wad, aku dapat katil di tepi kaunter jururawat, di kaki lima sebelah tingkap. Oh patutlah, katil di wad penuh rupanya, itu sebabnya urusan menjadi lambat.

Kak Ujah yang dari semalamnya menemaniku, memberitahu yang dia perlu pulang. Dia membantu aku untuk solat di katil dahulu, baru bergerak pulang.

...

BRANULA

Seorang doktor lelaki datang memberitahu aku yang dia perlu memasukkan jarum ke tangan aku.

Beliau mulakan pencarian salur darah dengan di belakang telapak tangan kanan, gagal. Lengan kanan, juga gagal. Dia mencuba lagi di belakang telapak tangan kiri, berjaya pun Alhamdulillah. Katanya, salur darah aku kecil.

Jujur ku katakan, doktor itu sangat baik. Budi bahasa, cermat dan peramah. Walaupun beberapa kali cubaan beliau perlu lakukan untuk mendapatkan salur darah, aku tak kisah kerana aku menganggap dia sedang membina pengalaman dan kesakitan pada perut ketika itu lebih kuat berbanding usaha memasukkan jarum branula hihi.

Maka sepanjang pagi itu aku rehat setelah semalaman mengerang kesakitan.

PERSEDIAAN PEMBEDAHAN

Jam 11 pagi begitu, aku dipanggil oleh jururawat ke bilik rawatan untuk menukar pakaian dan baring di atas katil rawatan. Ketika ini, bahagian perut dan sekitar atas bagian pubik dicukur untuk mengelakkan kuman yang terselindung di sebalik bulu badan. Aku kembali semula ke katil sehingga dipanggil.

Sekitar jam 12 tengah hari, aku ditolak ke bilik bedah. Pada asalnya aku diarahkan untuk membuka tudung. Allah izin, jururawat itu sangat baik dihantar-Nya. Katanya,

"Adik ni malu, nanti kita buka kat sana"

Sepanjang perjalanan menuju ke dewan bedah, aku berasa sangat malu. Dibaringkan di atas katil, ditolak oleh orang-orang yang aku tidak kenali, melalui gerombolan-gerombolan manusia yang memerhari sahaja. Aku cuba pejamkan mata, tiba-tiba...

"Dik, jangan tidur tau. Bahaya"

Pesan attendan tersebut. Mereka sangat ramah. Tapi tetap aku tak selesa kerana malu. Mereka tak bersalah pun.

Aku sangat bersyukur kerana ada yang begitu memahami.

Sampai di bilik persediaan sebelum memasuki bilik bedah aku kira, tali baju pembedahan di belakang badanku diminta izin untuk dibuka.

Pada saat itu, ketakutan mula menghantui diri. Tidak putus doa dipohon. Hanya aku di situ sendirian, tiada yang aku kenal.

DEWAN BEDAH

Tiba di bilik bedah, aku dipindahkan dari stretcher ke meja pembedahan. Mulalah episod paling ngeri bagi hidupku ketika itu.

Lampu pembedahan yang besar menyilau pandangan mata, kedinginan suhu menusuk ke tulang, ingin sahaja aku pinta diberikan selimut lebih untuk menutupi kakiku, sendirian, dikelilingi manusia-manusia yang tidak dikenali, tapi aku yakin mereka ingin menyelamatkan aku.

..

Elektrod ECG dipasang di dada. Abdomen kanan pada bahagian bawah ditekan, ouch!! Nasib baik aku tidak melibaskan kaki ke arah doktor tersebut. Saat itu adalah skala kesakitan paling tinggi aku capai.

Ubat tidur dan pelumpuh otot disuntik melalui branula tanganku. Topeng oksigen ditekup ke muka. Pandangan mulai kabur. Aku terbang dibawa ke alam lain tanpa mimpi.

...

Jam 4 petang begitu, aku mula tersedar dari tidur. Ibu ada di sisi. Dia menyuruhku solat jama' zohor dan asar, waktu ada lagi katanya.

Badanku terlalu lemah. Batuk sahaja dirasakan seolah-olah ingin terkeluar semua isi perut.

Ibu mengingatkanku untuk bertayamum, dan solat menggunkan mata sahaja. Mungkin kesan ubat bius masih tersisa, aku tidak dapat menggerakkan badan sangat.

...

Malamnya, Kak Ujah menemaniku. Dia membawa bubur nasi habuan aku berbuka puasa selama lebih 22 jam itu. Kali ini aku mendapat ruangan katil yang selesa iaitu bersebelahan tingkap, bilangan pesakit yang menghuni kubikel itu juga sudah berkurangan.

18 April 2011

Pagi itu aku sendirian kerana kakakku keluar membeli tuala wanita, aku kebetulan mengalami datang bulan pagi itu.

Datang pula sekumpulan doktor yang bergerak dari katil ke katil. Aku tak tahu apa yang mereka bicarakan. Tapi yang pasti, mereka perlu membuka jahitan pada perutku.

Aku hanya mengangkat sedikit sahaja baju, cukup sekadar doktor yang merawat dapat melihat untuk membuat prosedur itu. Disemburnya spray Obsylate sebagi kalis air untuk beberapa hari, lalu benang jahitan dibuka. Syukur tiada kesakitan ketika itu.

Bukan aku tidak mahu mengangkat baju itu lebih besar supaya dapat dilihat para doktor pelatih yang ingin belajar ketika itu, tapi aku berasa sangat malu. Aku hanya fikirkan aurat sahaja. Mungkin mereka boleh melihat prosedur ini dengan lebih jelas pada pesakit lain, terutamannya kaum lelaki. Apatah lagi ini adalah pembedahan yang paling biasa dilakukan bukan.

...

Jarum jam dirasakan bergerak begitu perlahan. Aku mulai bosan. Aku berjalan dari tingkap ke tingkap, melihat pemandangan dari tingkat atas itu, sambil mencuba mengukur tahap kesembuhan.

Tengah hari itu aku dibenarkan pulang. Aku hanya menanti abang sulungku datang menyelesaikan segala urusan dan membawaku pulang.

...

Itulah kisah pendek, yang bagiku begitu bermakna, sarat dengan kejutan dan hikmah. Terima kasih Allah untuk kenangan yang bermakna ini.

No comments:

Post a Comment

Dilindungi

Dalam menuju kematangan, banyak perkara perlu dipelajari sendiri tanpa diajar. Ada yang mudah, ada yang susah. Ada yang ada formula untuk me...