Sang Melulu
(alpha)
Yang namanya manusia itu, asal marah, dihemburkan semua yang mencengkam dada. Asal kecewa, dilepaskan semua yang di genggaman. Asal sedih, diabaikan yang di depan mata.
Dimarah semua, dikesal semua, dicerca segala.
Dia lupa yang dia pernah berdoa. Memohon semua yang dicita. Dipinta segala apa yang didamba.
Mana mungkin semuanya diperoleh percuma. Sedikit ujian dihantar sebagai harga yang perlu dibayar. Biarlah air mata dan titis keringat mengalir sebagai daki-daki kerja.
Itu perihal jasad.
Bukanlah amal itu dinilai dengan hasilnya tapi pada usahanya. Niat yang merintiskan tindak-tanduk itulah pokoknya.
Namun jika rungutan dan makian yang menjelma sebelum perbuatan,
Bayangkan di tahap manakah sahaja diangkat amalan itu.
Diharapkan kata-kata boleh ditarik sahaja, difikirkan masa dapat diundur juga.
Yang mampu dengan harta, itulah yang diusahakan. Kewarasan akal bukan lagi prioritinya. Hati itu jauh lagi pertimbangannya.
Masa & Usia
Adakah akan dihabiskan sisa usia dengan sikap sebegitu berterusan? Manusia tidak akan menginjak muda. Bahkan bila masanya yang akan dijemput pulang juga bukanlah kepastian.
Tatkala fikiran mula membisik baur-baur buruk sangka pada Tuhan, lekaslah tepis.
Saat paradigma dunia terasa seakan tidak adil pada tempatnya, anggaplah itu semua ujian semata.
Jangan pernah melulu dalam memutuskan keputusan. Gunakan pertimbangan akal yang waras serta nilailah dengan hati nuranimu.
Ada masa kita berasa di atas, namun ada masa kita sebaliknya. Meski di dunia tidak terbalas kebaikan yang diusaha, Tuhan tidak pernah melupakanmu walau sedetik. Tiada amalanmu yang terlepas dari pengetahuan-Nya.
(Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
(Al-Baqarah:112)
No comments:
Post a Comment