Saturday, 24 April 2021

Problematic, katanya.

Pada post sebelumnya, aku simpulkan betapa aku ini problematic orangnya.

 Apabila ditimbang tara dengan bukti fizikal yang ada dalam kalangan sekerja, yang pernah mendapat surat amaran - aku, yang acapkali dimarahi - aku, yang menjadi sasaran - aku. Mahu saja tanam jasad di pasir pantai dan dikambus semula, biarkan dipijak semahu-mahunya, atau dibiarkan saja tidak terusik.

Allah Yang Maha Pengasih, dihantarnya seseorang untuk mendengar aku dan membantu semampunya. 

Tatkala aku rasakan seolahnya aku manusia paling teruk di dalam bangunan ini, beliau mengingatkan aku..

"ingat tak dulu you back up dan cover junior you masa dia buat salah sebab dia masih baru?"

"ingat tak you struggle buat article untuk department? You team first kan publish article tu?"

Other case - "you ingat tak you selamatkan seseorang dari su*cide? Bila dia anxious, you tahu apa nak kena buat, you tahu handle orang tu"

dan lain-lain..

Begitulah aku, perkara begini bukan diingat pun, bukan dicatat pun, kerana bagi aku - lupakan kebaikan kita. Walhal berguna di saat kira rasa lemah, kita tidak melambung diri, kita cuma menghargai diri sendiri sahaja.

Mungkin yang lebih tepat dalam kes ini adalah, aku rasakan beratnya yang ujian mendatang, bukannya problematic sangat pun. Mungkin.

Buatlah baik, selagi termampu. Pesan Ustaz Omar, mantan Mudir sekolah menengahku : buat yang mampu. Pendek saja, tapi cukuplah dengan istiqamah, konsisten.

.

Semalam atas izin-Nya, aku terlihat status whatsApp senior sekolah yang juga warden asrama puteri sekolah menengahku, beliau bertanya jika sesiapa tahu ada farmasi yang masih beroperasi sekitar 7.30pm. Tergerak hatiku untuk bertanya jika ada apa-apa yang boleh dibantu. 

Beliau pun bercerita secara terperinci, ringkasnya, mereka memerlukan ubat untuk seorang pelajar yang tidak sihat. Aku pun menawarkan untuk membelikan ubat tersebut, dalam masa yang sama, aku beli aiskrim Mokti's berdekatan farmasi tersebut untuk belanja diri sendiri juga, sedap sangat.

Tiba di asrama, aku meminta untuk melihat ubat yang dibeli mereka sebelumnya, dek kerana aneh antara simptom dan ubat yang dibeli, aku memberi saranan untuk mengambil ubat yang aku beli dahulu, batuk berkahak - diberikan Tussidex Syrup, tepuk dahi. 

Ya lah, ubat beli di farmasi, tanpa diperiksa doktor, atau barangkali tidak cukup maklumat semasa membeli ubat, maka diberikan ubat yang tidak tepat. 

.

Sebelum pulang, aku meluahkan betapa aku rindu beliau, rindu asrama itu dan rindu suasana seperti dahulu. Lembut sapanya, "awak okey ke? Nampak macam tak sihat jiwa." 

Aku bagai tersedar dari lamunan. 

Allah. Hebatnya firasat orang beriman. Aku sangat rindukan bait-bait tarbiyah yang mengisi ruang hati.

Beliau tidak mengorek kisah dan masalah aku. Aku selitkan 1 kisah sahaja dari keserabutan minggu ini. Aku sulam akhir kisah aku tadi dengan satu senyuman tabah.

Kata beliau, ujian itu bukan diukur pada kuantiti untung rugi, bukan pada timbangan berat ringannya, tapi terletak pada bagaimana kita menghadapi ujian tersebut.

 "Allah nak tengok kita saja," itu ucapannya dengan nada tona rendah. 

Terjentik hati aku. Sungguh aku melatah di awal ujian menjelma. Reaksi aku juga tak perlu dikhabarkan. Diam mungkin nampak tenang, tapi gusar dalam hati bukannya sedikit. 

Tambahnya lagi, bukan juga rezeki itu pada angka gaji kita, tapi rezeki itu semuanya dari Allah. Gaji yang kita lihat masuk di akaun bank kita itu hanyalah persinggahan sahaja, Dia mahu lihat bagaimana kita guna sahaja. Bukankah itu antara hisab nanti?

 Sebelum pulang, beliau bertanya tentang harga ubat tersebut. Jawab aku, "biarlah Allah yang kira." Beliau hanya tersenyum.

Aku tiada wang yang banyak untuk bersedekah, tiada masa yang banyak untuk bantu secara fizikal mana yang perlu, cuma dengan harapan, kebaikan kecil ini yang tidak sampai rm20 pun, mampu merawat duka aku dengan kes rm9.80 pada posting sebelumnya, tentang bagaimana aku hampir mendapat surat amaran itu.

Pertemuan singkat ini cukup mengisi ruang hati yang lompong ini. Rasa bangkit kembali semangat seminggu yang menjunam itu.

Banyak nikmat yang acapkali aku tidak zahirkan kesyukuran. Nikmat dapat kecapi Islam, dapat rasai Iman, dapat bernafas dengan baik, dapat rezeki secukupnya, dapat keluarga yang baik, rakan-rakan, jiran-jiran dan orang sekeliling juga baik-baik belaka.

 Mana pernah aku minta semua ini, hadiah, bukan?

Bersyukurlah, ya?


25/04/2021 @ 0946H

Kangar, Perlis.


No comments:

Post a Comment

Dilindungi

Dalam menuju kematangan, banyak perkara perlu dipelajari sendiri tanpa diajar. Ada yang mudah, ada yang susah. Ada yang ada formula untuk me...