Kata orang, hidup jangan terlalu mengharap. Mengharap sesuatu yang tidak pasti, risau dengan sesuatu yang belum berlaku, gusar dengan sesuatu yang tidak tahu.
Minggu ini sahaja berderet ujian datang ya, setiap hari. Seharusnya di blog ini, aku akan tulis aneka ceritera bahagia sahaja untuk tatapan di hari muka. Tapi entahlah, sensitif benar jiwa ini sejak kebelakangan ini. Hati orang mana kita tahu, nampak normal saja luaran kan.
Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, satu hari, satu kisahnya. Tak mahu aku ceritakan kerana benar-benar mengguris hati. Seharusnya di hari-hari terakhir di sini aku akan mengukir senyum dan tawa, tidak rupanya, malah derita merobek jiwa.
Kadang bila aku fikirkan, kita semua tidak mahu berbuat kesalahan, mengelakkan kecuaian, melakukan yang terbaik untuk semua. Namun tak semua yang dihajati akan menjadi realiti, malah ditikam belakang oleh orang yang kita sangka boleh dipercayai.
Dunia.
Adakah dengan melepaskan amarah kepada orang yang lebih bawah dari kita akan membuatkan kita lega? Adakah dengan menghamburkan kata maki menyelesaikan masalah? Adakah dengan mempertikai perkara kecil mampu meleraikan tanda tanya? Malah hampir menutup periuk nasi orang yang jauh lebih kecil di bawah anda. Dia tidak tahu. Tapi itulah realitinya. Ada akal, fikir sendiri.
Tak semua benda boleh ditanya,
Tak semua soalan ada jawapan.
Aku ini masih mentah dalam alam pekerjaan, 'innocent' bak kata orang. Aku diajar untuk bersuara, namun dihalang di hujungnya, ditakut-takutkan di hujung garisan penamat. Di mana sorakan semangat sebelumnya? Sekadar memarakkan unggun api senja? Apa yang kalian mahukan sebenarnya? Aku ini, tiada nilaikah?
Jujur hari ini aku sangat tidak bermaya untuk pergi kerja, lemau dari pagi, rasa lemah semangat, trauma agaknya hendak menghadap hari mendatang di tempat mencari rezeki. Namun tiada alasan untuk bercuti kan? Maka digagahkan jua kaki melangkah.
Pengukir senyum aku hari ini adalah pada jam keempat bekerja, iaitu hanya dengan mendengar ucapan terima kasih dari seorang orang atasan sahaja, beliau ialah doktor pakar sakit puan.
Terkejut juga aku, klinik beliau seharusnya berakhir jam 4:30 petang, namun beliau masih belum pulang pada jam 6 petang. Rasa bersalah juga tatkala melihat nama beliau muncul di telefon tanpa wayar kami ketika berdering, terus keluar di bibirku, "bala apa pula ini?"
Rupanya isu kecil yang ada penyelesaian yang baik ingin Dia tunjukkan.
Alhamdulillah, banyak Dia mudahkan. Beliau boleh berkomunikasi dengan baik, punca sakit otak aku di tempat kerja hari ini juga boleh bercakap dengan baik, dan pesakit serta staf-staf lain juga baik belaka berkomunikasi denganku hari ini.
Alhamdulillah.
Tidaklah bahagia mana hari ini. Namun ucapan yang aku dengar itu cukup menyejukkan hati. Meski pulang dari kerja itu sakit juga kepala.
Benarlah,
"Dalam derita ada bahgia,
Dalam gembira mungkin terselit duka,
Tak siapa tahu,
tak siapa pinta ujian bertamu"
24th Apr 2021
12 Ramadhan 1442H @ Beseri, Perlis
01.16am
No comments:
Post a Comment